Apabila disebut remaja, ramai yang meletakkan persepsi bahawa remaja adalah satu golongan yang bermasalah dan memberikan banyak masalah.Jarang kita dengar dikalangan masyarakat menyebut tentang kehebatan,kelebihan dan kebaikan remaja.Perkara ini terjadi akibat pendedahan oleh pihak media yang begitu meluas tentang segelintir remaja yang terlibat dengan masalah gejala sosial.
Persoalanya, adakah semua remaja bermasalah dan adakah semuanya tidak baik.Adakah golongan dewasa pada hari ini amat sempurna dan baik ketika zaman remajanya.Para pembaca sekalian, remaja adalah suatu zaman peralihan dari seorang kanak-kanak kepada dewasa.Banyak perkara yang hendak dan mahu diketahui oleh mereka.Mereka mahu mencuba seberapa banyak mungkin perkara yang mereka nampak dan tahu.Maka pada pandangan saya, golongan dewasa seharusnya memberikan panduan dan bimbingan tentang apa yang boleh dicuba dan tidak boleh dicuba.
Sepatutnya masyarakat yang terdiri dari kalangan keluarga,kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan mengangkat dan menyebutkan sentiasa kebaikan dan kehebatan atau perkara yang positif yang ada pada mereka.Saya bersetuju memang ada remaja yang terlibat dengan masalah sosial tetapi sekiranya kita pada hari ini hanya sering dan suka menyebutkan perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh remaja, maka remaja tetap akan meneruskanya kerana mereka menganggap orang dewasa hanya tahu dan menganggap mereka tidak baik.
Sebagai contoh paling mudah, kenapa remaja pada hari ini terlibat dengan gejala merempit,pada pandangan saya antara sebab utama mereka terlibat dengan gejala merempit ialah untuk mendapatkan perhatian, ini dapat dilihat dengan jelas apabila tidak ada dikalangan mereka yang merempit seorang diri kerana mereka mahukan perhatian kawan-kawan bagi menunjukkan kehebatan.Selain itu perlakuan yang tidak bermoral seperti Vandalisme, Samseng,Buli,Mencuri,Penagihan Dadah,Seks Bebas dan banyak lagi akibat daripada remaja yang tidak diberikan perhatian sewajarnya yang akhirnya menyebabkan mereka terlibat dengan gejala sosial.
Remaja memang perlukan perhatian seperti mahu dihormati dengan kehebatan yang ada padanya,diberikan penghargaan dan diberikan pujian terhadap perkara yang mereka lakukan serta diberikan kasih sayang yang sewajarnya.Sekiranya kita tahu bahawa inilah kehendak remaja, maka kita perlu menunjukkan jalan yang sesuai dan aktiviti yang positif untuk mereka mendapatkan perhatian dengan cara yang betul.
Memang menjadi lumrah manusia mahukan perhatian, contoh paling mudah ialah apabila seorang kanak-kanak yang menangis tanpa sebab tetapi diam setelah ibu bapanya mendukungnya dan bermain denganya.Sejak dari kecil, ramai ibu dan bapa sering melarang anak-anak mereka bermain itu dan ini tetapi tidak memberikan alternatif lain sebagai ganti terhadap perkara yang dilarang.Tidak banyak yang dimahukan oleh seorang remaja selain perhatian dan ditunjukkan manakah jalan manakah yang benar dan salah.
Saya sebagai seorang remaja pun sering tertanya-tanya kenapa jarang kita lihat masyarakat menghargai,mengiktiraf atau memuji perkara yang positif yang dilakukan oleh remaja.Tetapi apabila satu sahaja kesalahan yang dibuat, maka seluruh remaja dihukum tanpa belas kasihan.Ini adalah tidak adil bagi remaja-remaja lain yang baik sikap dan tingkah lakunya, golongan dewasa pada hari ini seharusnya menunjukkan jalan yang sebenar dan yang sepatutnya dilalui oleh seorang remaja sekiranya mereka melalui jalan yang salah.
Jangan hanya tahu menghukum mereka dan menyebutkan kesalahan mereka.
Golongan dewasa seharusnya bertanya kembali kepada diri sendiri adakah mereka sudah memberikan dan menunjukkan jalan yang sebenar kepada golongan remaja.Saya sebagai pekerja belia yang terlibat secara langsung dalam program pembangunan belia dan sentiasa berhubung dengan remaja atau belia mendapati jarang sekali berjumpa dengan ibu bapa yang datang bertanyakan apakah program atau aktiviti yang boleh diikuti oleh anak-anak mereka.Sebaliknya saya sendiri terpaksa mencari remaja untuk mengikuti program bagi mengisi masa mereka yang terluang.
Bahkan saya sendiri pernah dimarahi oleh ibu bapa yang tidak mahu anaknya terlibat dengan program-program yang kami anjurkan.Antara contoh program yang paling mudah untuk diambil ialah PLKN, kenapa masih ada ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka mengikuti program yang amat baik untuk remaja pada masa lapang mereka.Persoalan yang sering bermain di minda saya ialah, adakah ibu bapa pada hari ini hanya mahu anak-anak mereka sentiasa berada dirumah tanpa didedahkan dengan dunia luar yang mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari oleh mereka.
Maka terjadilah kejadian remaja yang lari dari rumah dan remaja yang terlibat dengan gejala sosial yang melampau,perkara ini terjadi akibat remaja yang sudah lama dikongkong dan memberontak apabila mendapat peluang.Masyarakat pada hari ini juga mesti sedar bahawa cabaran untuk remaja pada hari ini adalah tidak sama dengan cabaran remaja pada 20 atau 30 tahun yang lalu dan remaja amat memerlukan aktiviti-aktiviti yang boleh membentuk jatidiri dan semangat mereka.Tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk remaja terlibat dengan aktiviti luar, tetapi ibu bapa mestilah mengawal mereka dengan menunjukkan aktiviti yang postif dan yang baik untuk mereka.Sebenarnya terdapat banyak aktiviti berfaedah yang boleh diikuti oleh remaja yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan melalui Program Rakan Muda dan sebagainya.
Seharusnya ibu bapa yang mencarikan untuk anak-anak mereka aktiviti berfaedah yang boleh diikuti dan bukan hanya menunggu aktiviti yang datang kepada mereka.Saya sebagai pekerja belia sering berjumpa dengan ibu bapa yang menyalahkan pihak kerajaan yang tidak membuat promosi tentang program dan aktiviti remaja yang diadakan.Para pembaca sekalian, adalah mustahil untuk pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk menceritakan semua program yang akan berlangsung melalui media massa.Seharusnya masyarakat pada hari ini mencari dan bertanya tentang aktiviti yang berguna dan bermanfaat untuk remaja.Kalaupun tidak ada, maka pihak yang berkenaan akan berusaha untuk mengadakanya disebabkan ada permintaan.
Maka inisiatif oleh pihak ibu bapa adalah amat diperlukan, jangan hanya tahu salahkan remaja apabila mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral kerana kita tidak pernah menunjukkan aktiviti yang bermoral untuk mereka ikuti.Remaja akan menjadi marah dan kecewa apabila hanya sering mendengar perkataan negatif yang dilemparkan kepada mereka seperti malas,degil,kurang ajar,tidak bermoral,menyusahkan orang dan banyak lagi perkataan negatif yang lain dan akhirnya menyebabkan remaja merasa tertekan dan rendah diri untuk membuat perkara yang baik.
Maka inisiatif oleh pihak ibu bapa adalah amat diperlukan, jangan hanya tahu salahkan remaja apabila mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral kerana kita tidak pernah menunjukkan aktiviti yang bermoral untuk mereka ikuti.Remaja akan menjadi marah dan kecewa apabila hanya sering mendengar perkataan negatif yang dilemparkan kepada mereka seperti malas,degil,kurang ajar,tidak bermoral,menyusahkan orang dan banyak lagi perkataan negatif yang lain dan akhirnya menyebabkan remaja merasa tertekan dan rendah diri untuk membuat perkara yang baik.
Adakah semua perlakuan remaja pada hari ini adalah tidak elok dan jahat.Sepatutnya pada hari ini, golongan yang lebih dewasa memberikan mereka dorongan dengan menyebutkan perkataan yang positif seperti kamu boleh,pandai,hebat,baik hati,bersopan santun dan sebagainya sebagai galakan kepada mereka.Ibu bapa pada hari ini perlu tahu dan sedar bahawa ungkapan atau kata-kata mereka adalah doa.Kalau doa yang negatif sahaja yang disebutkan maka itulah yang akan terjadi.Dan menurut kajian oleh Michael J.Loisier didalam bukunya yang bertajuk “Law of Attraction” ada mengatakan bahawa perkataan yang sering disebutkan dan didengari oleh kita adalah afirmasi yang paling berkesan untuk mengubah sikap dan perangai seseorang.
Memang benar remaja ada melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi itulah proses untuk mematangkan diri mereka,dan tidaklah salah untuk menghukum mereka asalkan ditunjukkan jalan yang sebenar sebagai panduan untuk mereka kembali ke jalan yang sebenar dan baik.Saya tidak ingin mengatakan bahawa ini semua adalah salah ibu bapa semata-mata, tetapi keseluruhan masyarakat seluruhnya.Saya juga tidak menafikan ada remaja yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat tetapi sebagai orang dewasa mereka haruslah mencari kaedah yang terbaik untuk menegur remaja,tidak semestinya dengan marah malah mesti menggunakan cara yang bijaksana dan cara yang baik, maka saya yakin dan percaya remaja boleh berubah.
Saya mewakili remaja-remaja yang lain ingin meluahkan hati dan rasa kepada seluruh masyarakat bahawa janganlah hanya tahu menghukum kami sekiranya kami melakukan kesalahan tetapi berilah juga kepada kami panduan dan tunjuk ajar yang sebenar kepada kami, mungkin kami tersilap tetapi bukan bermakna kami sengaja untuk melakukan kesilapan yang sama.Kalau seluruh masyarakat terus menghukum kami, maka kami merasakan tidak ada ruang lagi untuk kami membuktikan bahawa kami juga berguna kepada Agama,Bangsa dan Negara.
Memang benar sikap kami adalah sentiasa ingin tahu dan mencuba, maka tunjukkanlah kami apa yang kami patut lakukan dan yang tidak boleh kami lakukan.Bukan menghukum kami setelah kami melakukanya.Bukan kami tidak tahu berfikir, tetapi kadang-kadang kami tidak mampu untuk menilai mana yang baik dan yang buruk dek kerana keseronokan yang dirasai serta pengalaman yang sedikit.Oleh itu bantulah kami,jangan hanya menghukum kami,tunjukkan juga kami jalan yang baik dan berilah peluang kepada kami untuk membuktikan kebaikan dan kelebihan yang ada pada kami.Berilah penghargaan dan pujian kepada kami sekiranya kami ada melakukan perkara yang baik, bukan kerana tidak ikhlas tetapi inginkan sedikit suntikan semangat dan galakan untuk terus membuat kebaikan dan dicontohi rakan.Nescaya kami akan cuba sedaya upaya kami untuk menaikkan nama negara dimata dunia kerana kami tahu kami adalah pewaris negara dan bakal pemimpin pada masa akan datang.Maafkan kami terhadap kesalahan yang kami lakukan dan bantulah kami.
Penulis :
Suhail Bin Mohamed amaruddin
Jurulatih Kebangsaan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur
0 comments:
Post a Comment